PONTIAN: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan membaik pulih 280 rumah di Johor tahun ini dengan peruntukan RM7 juta untuk memberi keselesaan kepada penghuni kediaman tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nasri Ali berkata setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mempunyai lima rumah untuk kerja baik pulih dengan anggaran maksimum peruntukan setiap rumah RM18,000.

Katanya tiga pihak iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pejabat daerah dan MAINJ akan terlibat bagi menentukan penerima bantuan itu yang terdiri daripada golongan asnaf.

"Peruntukan ini adalah pembayaran zakat oleh umat Islam di negeri ini dan MAINJ sebagai pengantara akan memulangkan semula kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf dan sebagainya.

"Pendekatan atau kaedah ini merupakan cari untuk menyantuni pembayar zakat agar mereka tahu yang bayaran yang dibuat disalurkan termasuk bagi program baik pulih dan bina rumah baharu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Baik Pulih Rumah Perdana MAINJ Peringkat Negeri Johor di Kampung Sungai Kuali, Serkat di sini hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan majlis itu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Farid Mohd Khalid.

Pada majlis pelancaran tersebut, rumah seorang ibu tunggal, Rahmah Suratman, 74, dibaik pulih dengan kerja-kerja penggantian zink, memasang pintu, mengecat dinding, memasang tikar getah dan sebagainya.

Jelas beliau lagi selain baik pulih rumah, MAINJ juga memperuntukkan RM8 juta pada tahun ini bagi projek membina rumah golongan asnaf dan juga mereka yang memerlukan seperti mangsa bencana.

Katanya bagi projek membina rumah baharu, pihaknya telah menetapkan setiap rumah yang dibina tidak melebihi RM65,000 serta turut dinilai oleh tiga pihak iaitu ADUN, pejabat daerah dan MAINJ.

"Kami (MAINJ) hanyalah berperanan untuk memegang amanah kepada para pembayar zakat yang perlu digunakan sebaik mungkin kepada golongan memerlukan termasuk juga bagi perkara berkaitan kesihatan, pendidikan dan sebagainya," jelasnya.

-- BERNAMA